Adam Reza

 

 

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Sukan dan Belia YB Khairy tentang isu penerimaan derma sebanyak RM 2.6 billion oleh Perdana Menteri YB DS Najib Tun Razak.

Pertama sekali, memandangkan kehangatan isu kita perlu menilai kenyataan YB KJ secara objektif. Saya mengambil pandangan bahawa kenyataan di sosial media yang memperlekehkan beliau sebagai tidak “bermaruah” adalah tidak adil.

Beliau telah terang-terang mengatakan bahawa satu-satunya yang kita boleh pegang adalah keputusan SPRM buat masa kini dan SPRM perlu pastikan siasatan segera untuk aspek-aspek lain. Saya tidak nampak apa-apa yang salah dengan kenyataan, jelas bahawa siasatan belum selesai dan kita perlu tunggu keputusan selanjutnya.

Pada masa yang sama beliau secara terang-terang menyatakan bahawa beliau difahamkan bahawa penderma itu dari kalangan penyokong UMNO. Saya tidak salahkan beliau kerana itu juga fahaman saya mahupun orang ramai.

Saya faham ramai yang marah dengan kenyataan ini kerana isu ini sangat hangat, tetapi saya percaya bahawa sentimen berbaur politik hanya mengalihkan perhatian daripada isu yang lebih penting – pembaharuan undang-undang sumbangan dana politik di Malaysia.

Bagi saya, isu utama 1MDB ini bukanlah tentang kedudukan DS Najib mahupun pilihan antara DS Najib dan Mahathir atau BN dan PR, tetapi tentang masa depan undang-undang berkaitan sumbangan dana politik.

Perlu diingatkan bahawa soal penerimaan derma ini melibatkan bukan sahaja Barisan Nasional tetapi parti pembangkang.

Jelas bahawa lumrah politik memerlukan sumber kewangan untuk membiayai operasi politik tetapi kita kena sedar bahawa kedua-dua pihak belum cukup telus dalam perkara ini.

Sebagai contoh apakah sistem pembiayaan Pakatan? DAP? PAS? Bendera yang diguna sewaktu PRU sama banyak. Cukupkah dana daripada fundraising dinners ataupun derma online? Kalau cukup terus terang.

Dalam menangani masalah politik wang ini, kita tidak boleh naif. Kita kena sedar bahawa soal ketelusan dana politik ini merangkumi kedua-dua parti politik. Oleh itu, kalau kita melihat isu ini daripada kanta politik sahaja dan hentam KJ, hentam BN, kita akan kehilangan tumpuan kepada perkara yang lebih penting.

Perkara ini akan berulang lagi tanpa pembahuruan undang-undang. Jelas bahawa tidak ramai ahli politik, malah hanya segelintir ahli politik menandatangani TI-M integriti pledge (YB KJ telah menandatanganinya). Saya hanyalah orang kerdil tetapi saya percaya bahawa salah-salah satu cara untuk menjadikan impian ini sebuah realiti ialah kalau rakyat Malaysia boleh tumpukan perhatian mereka terhadap isu.

Cukuplah melihat isu berasaskan parti yang kita sokong. Cukuplah bergantung semata-mata kepada ahli politik berkarisma untuk memperjuangkan isu.

Sudah masanya kita beri tumpuan kepada isu-isu dan menekankan pembaharuan kepada dana politik pada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

We hold on to the MACC statement, says Umno Youth chief.
MALAYSIAKINI.COM
Article was first published on writer’s personal Facebook account 

Comments

comments