Azeem Abu Bakar is secretary-general of the Organisation for National Empowerment (ONE).

 

by Azeem Abu Bakar

Sejak pilihan raya umum ke-14 landskap politik tanah air menampakkan pelbagai ragam yang sangat menarik, khususnya kebangkitan bakat-bakat pemimpin muda dari pihak kerajaan, pembangkang dan parti bebas.

Pada minggu lepas, senarai Kabinet baru dikeluarkan. Walaupun senarai tersebut belum rasmi, kita berasa teruja apabila mendapati beberapa pemimpin muda yang diketengahkan seperti Ahli Parlimen Syed Saddiq, 25, dan Ahli Parlimen Yeo Bee Yin, 35.

Pada Ahad lepas juga, Ahli Parlimen Khairy Jamaluddin, 42, membuat kejutan apabila menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden Umno di saat-saat akhir pencalonan pemilihan parti yang akan diadakan 30 Jun ini.

Sementara itu, Zarra Rawi, 31, satu-satunya pemimpin vokal dalam Puteri Umno sudah mula mengetengahkan idea bahawa isu pemulihan Umno perlu digerakkan oleh generasi muda.

Pada peringkat NGO pula, Danni Rais, 31, dan presiden Organisation for National Empowerment (ONE) dikatakan sedang bersiap-siaga untuk melakukan kejutan di Negeri Sembilan tidak lama lagi, di mana beliau akan mula bergerak lebih aktif di arena politik Malaysia Baru.

Manakala, Ahli Parlimen Prabakaran, 22, seorang calon bebas dan menempa nama sebagai Ahli Parlimen termuda di dalam sejarah Malaysia, memecahkan rekod Datuk Seri Najib Razak yang memenangi Parlimen Pekan pada usia 23 tahun.

Walaupun perkembangan ini sangat menarik dan buat kami orang muda sangat teruja, jalan yang berliku menanti pemimpin generasi Malaysia Baru ini. Sekiranya Syed Saddiq benar-benar dilantik sebagai menteri belia dan sukan, maka ini merupakan perubahan yang drastik pada beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai jurulatih debat dan pegawai penyelidikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Khairy pula akan berdepan “warlord” Umno dan perlu memenangi hati ahli-ahli parti yang ramainya terdiri daripada yang sudah berumur. Saya berpeluang menanyakan pendapat akar umbi Puteri Umno tentang pencalonan Khairy sebagai presiden. Khairy dianggap “terlalu muda” untuk memegang jawatan presiden. Inilah mentaliti yang perlu diubah sebelum Khairy mempunyai peluang untuk menang dalam pemilihan.

Umum mengetahui Datuk Sri Anwar Ibrahim ingin kembali ke Parlimen dan terdapat ura-ura kerusi yang dimenangi Prabakaran menjadi salah satu sasaran untuk satu lagi “Kajang Move”. Itulah cabaran yang menanti Prabakaran.

Namun, cabaran-cabaran inilah yang akan membuatkan pemimpin muda lebih matang dan kita perlu mengharunginya dengan semangat juang yang tinggi. Manisnya perjuangan datangnya daripada halangan yang ditempuhi, dan cabaran pertama yang perlu ditempuhi adalah faktor umur.

Rakyat perlu membuat anjakan paradigma dalam menerima pemimpin muda menggalas tanggungjawab yang besar, seperti memegang jawatan sebagai menteri atau menjadi presiden Umno.

Barangkali rakyat perlu diingatkan Revolusi Iran, Arab Spring dan tunjuk perasaan menentang Perang Vietnam di Amerika Syarikat banyak digerakkan oleh orang muda. Kemerdekaan negara juga digerakkan ramai orang-orang muda termasuklah Tun Abdul Razak Hussein, di mana beliau hanya berusia 34 tahun semasa menyertai rundingan di London.

Di peringkat antarabangsa, rakyat di negara maju seperti New Zealand memilih Jacinda Adern, 37, sebagai perdana menteri. Rakyat Perancis memilih Emmanuel Macron, 39, sebagai presiden. Sebastian Kurz, 31, pula merupakan Canselor Austria yang baru. Kim Jong Un mengambil alih pemerintahan Korea Utara pada usia 33 tahun.

Jadi apa anehnya jika Khairy memegang jawatan presiden Umno pada usia 42 tahun? Jawatan presiden Umno kini pun bukannya akan menjadi perdana menteri. Apa peliknya individu seperti Syed Saddiq dan Yeo Bee Yin diamanahkan tanggungjawab yang besar seperti jawatan menteri?

Yang penting keikhlasan untuk berkhidmat demi rakyat dan negara. Walaupun kurang pengalaman, orang muda mempunyai tenaga dan masa untuk merealisasikan impian rakyat. Mereka lebih cenderung untuk memperkenalkan idea-idea baru yang berjiwa orang muda yang merupakan generasi pelapis Malaysia hari ini dan akan datang.

Ya, Malaysia kini sedang dipimpin oleh Dr Mahathir, 93. Namun kita diberitahu jawatan ini akan diturunkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, 70, dalam masa 2 tahun lagi. Walau bagaimanapun, senario ini menjadi kian kabur apabila PKR yang kini berpecah kepada kem Anwar dan Datuk Seri Azmin Ali bukan lagi rahsia.

Dr Mahathir memberikan Azmin jawatan menteri hal ehwal ekonomi yang bakal menguasai Petronas, GLC dan GLIC walaupun tidak direstui Anwar. Dr Mahathir juga tidak menolak kemungkinan menyandang jawatan PM lebih daripada 2 tahun. Ini mesej jelas kepada Anwar supaya tidak sekali lagi bersikap gopoh terhadap jawatan PM.

Di penghujung jalan selepas 2 tahun ini, senario yang menjadi realiti mungkin berbeza dari apa yang diharapkan Anwar. Azmin jauh lebih muda, dan akan berusia 55 tahun dalam masa 2 tahun lagi. Dr Mahathir pertama kali menjadi perdana menteri pada usia 55 tahun.

Yang pasti, kita sedang menyaksikan perkembangan politik yang sangat menarik buat generasi baru.

 

This column was originally published in Free Malaysia Today on Wednesday July 20, 2018.

Comments

comments